VOUNTUS INDRA MAWAN SANIRU

Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit berkata, Vountus mampu memberikan kerjasama yang baik kepada dirinya dan juga Rosman Razak.
Katanya, bekas pemain berusia 28 tahun itu mampu membantu meneruskan sesi latihan kepada pemain-pemain muda sekiranya dia dan Rosman menjalani tugasan di luar negara selain mempunyai keinginan untuk menjadi jurulatih berkaliber pada masa akan datang.

“Selain seorang yang sentiasa bekerja keras, beliau juga mempunyai latar belakang sains sukan dan mampu untuk menjadi rakan sepelatih dengan pemain muda.

“Memang ramai berminat dengan jawatan ini tetapi apabila kami pergi lebih mendalam saya dan Rosman melihat beliau adalah orang yang kami cari dan memenuhi kriteria yang diinginkan. “Dia juga baru balik daripada menjadi jurulatih di Belanda, jadi saya rasa dia sangat sesuai dan secocok dengan 
program kami,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Vountus pernah membantu skuad negara meraih gangsa di Kejohanan Universiti Dunia dalam acara beregu campuran ketika bergandingan bersama Lee Meng Yean.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Sabah itu juga pernah muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada 2014 dan pernah bergandingan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem.

Bekas pemain Kelab Badminton Nusa Mahsuri itu meninggalkan BAM ketika bergelar pemain pada 2012.

Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Michelle Chai berkata, pemilihan Vountus dibuat berdasarkan keperluan semasa dengan mengambil kira penekanan terhadap sains sukan dalam kalangan pemain.
Katanya, berdasarkan latar belakangnya pernah melatih pemain remaja di Belanda dan sijil tahap tiga di dalam sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN), dia merupakan calon terbaik untuk program BAM ketika ini.

“Dia akan berada dalam tempoh pemantauan selama tiga bulan dan akan dinilai secara berterusan, sama seperti jurulatih lain berdasarkan kepada KPI (Indeks Prestasi Utama) yang diberikan.

“BAM bukan mengambil risiko dalam hal ini kerana setiap jurulatih ada kelebihan tersendiri dan daripada senarai calon yang ada, Vountus adalah yang terbaik untuk program ini buat masa sekarang.
“Kita tidak boleh nak bandingkan macam Ferrari atau Mercedes lebih baik kerana semuanya bergantung kepada keperluan kita,” katanya.

Sementara itu, Vountus mengakui agak terkejut BAM memilihnya menggantikan Jeremy.
“Selepas visa saya tamat di sana, saya membuat permohonan untuk menjadi jurulatih BAM dan sama sekali tidak menjangka bahawa saya akan diterima memandangkan jawatan itu turut dipohon nama-nama besar.

“Rancangan dan struktur latihan sudah ada bersama (Cheah) Soon Kit dan saya akan membantu menjayakannya demi terus membangunkan sukan badminton negara,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Hujung bulan lalu, Jeremy melepaskan jawatannya selaku jurulatih beregu lelaki dengan notis tiga bulan.
Antara kejayaan terbesar Jeremy ialah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio menerusi gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.