BAM

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, pemilihan kali ini menyaksikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan hanya atlet yang berada dalam kelompok empat terbaik Asia atau sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat terbaik dalam Sukan Asia 2014.

Katanya, BAM sebelum ini memohon agar 20 pemain terdiri daripada 10 pemain lelaki dan 10 pemain wanita disenaraikan untuk temasya pada 18 Ogos hingga 2 September ini tetapi hanya 14 pemain sahaja iaitu 10 lelaki dan empat wanita yang dihadkan bagi penyertaan kategori A.

“Kalau kami ingin menghantar pemain dalam acara berpasukan, perseorangan wanita dan beregu wanita, mereka boleh menyertainya menerusi kategori B.

“Saya akan berbincang dengan BAM dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan Asia di Wisma MOM, di sini hari ini.

Penyertaan di dalam ketegori A menyaksikan atlet yang beraksi akan diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung oleh pihak persatuan masing-masing. Walau bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B itu akan dibayar semula sekiranya atlet persatuan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Dalam perkembangan lain, Chin Chai memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan terbaharu berhubung rayuan bekas pemain profesional Zulfadli Zulkiffli melibatkan skandal mengatur perlawanan.

“Kami belum menerima sebarang perkembangan daripada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) berhubung perkara ini.

“Jika diikutkan, Zulfadli perlu mengenal pasti calon panel rayuan sebelum BWF memberi dua lagi nama panel dan proses ini memakan masa beberapa bulan,” katanya.