Hari ini walaupun terpaksa beraksi dalam dua perlawanan sehari, keadaan itu langsung tidak menghalang skuad campuran negara mencatat kemenangan mudah 5-0 ke atas Seychelles pada sebelah pagi dan Kanada 4-1 pada sebelah malam. Terdahulu semalam mereka menewaskan Ghana juga dengan 5-0.

Namun perlawanan paling penting di peringkat ini adalah bertemu Kanada bagi menentukan juara kumpulan dan berjaya direalisasikan apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai turun menerusi acara pertama beregu campuran serta mudah memungut mata pertama.

Gandingan No. 2 negara itu mudah menundukkan lawannya, Nyl Yakura-Kristen Tsai 21-17, 21-12 dalam masa 31 minit sahaja.

Datuk Lee Chong Wei yang turun selepas itu menerusi perseorangan lelaki hanya bermain tenang sebelum mudah menundukkan Jason Ho-Shue 21-6, 21-5.

Bagaimanapun hasrat skuad negara menamatkan cabaran Kanada lebih awal tidak kesampaian apabila pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah terpaksa akur dengan kehebatan Michelle Li menerusi permainan tiga set, 21-14, 19-21, 15-21.

Tersentak dengan kekalahan Soniia itu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turun dalam acara beregu lelaki tidak mudah gelabah sebaliknya mengambil masa 25 minit meraih mata kemenangan yang dicari.

Kemenangan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan dalam acara beregu wanita selepas itu hanya sekadar melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan sebelum turun untuk aksi suku akhir esok.