Walaupun sekadar me­netapkan sasaran dua emas iaitu menyamai pencapaian di Si­ngapura, dua tahun lalu, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya, faktor beraksi di depan penyokong sendiri mungkin mampu menghadirkan kejutan.

Prestasi semasa yang dimiliki beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See mele­takkan mereka sebagai sandaran meraih emas.

Namun, cabaran kali ini bakal ha­dir da­ripada Thailand kerana hanya bekas juara dunia, Ratchanok Intanon bakal beraksi dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, manakala hampir semua pemain terbaik mereka yang lain bertanding KL2017

Selain beregu wanita dan campuran, peluang Malaysia untuk memenangi gelaran perseorangan serta beregu lelaki juga tidak mustahil, biarpun Indonesia memiliki ke­lebihan.

“Saya melihat pasukan negara agak seimbang, kecuali dalam perseorangan wanita kerana jelas kita ketinggalan dibandingkan Thailand dan Indonesia.

“Dalam perseorangan dan beregu lelaki, kedudukan kita agak seimbang dengan negara lain dan peluang ‘mencuri’ emas itu ada.

“Berdasarkan undian, kita juga berada di landasan terbaik untuk ke final berpasukan lelaki, jadi di situ peluang untuk pingat emas juga ada.

“Saya melihat sasaran dua emas adalah minimum tetapi kita mungkin berpotensi memenangi lebih daripada itu,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Pada 2015, dua emas Malaysia disumbangkan Chong Wei Feng dan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dalam perseorangan lelaki serta beregu wanita.

Mohd. Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia menggalas cabaran perseorangan lelaki kali ini, manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Goh Sze Fei-Nur Izuddin Mohd. Rumsani dalam beregu lelaki.