Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan dan Riadah Carrara dekat sini, gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying lebih dulu membuka gelanggang tetapi sedikit bergelut sebelum memungut mata pertama skuad negara.

Pasangan No. 1 negara itu dipaksa bekerja keras dengan mengambil masa genap sejam untuk menewaskan gandingan Adam Hall-Julie MacPherson 14-21, 21-18, 21-15.

Datuk Lee Chong Wei yang turun selepas itu dalam acara perseorangan lelaki ternyata bukan lawan sebenar pemain yang tidak begitu dikenali dari Scotland, Kieran Merrilees.

Bekas pemain No. 1 dunia itu hanya mengambil masa 36 minit sebelum menang 21-14, 21-7.

Mata kemenangan skuad negara kemudiannya diraih menerusi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan gandingan Adam Hall-Alexander Dunn 21-10, 21-15 dalam masa 28 minit.

Pada separuh akhir esok, Malaysia akan menentang England manakala satu lagi saingan mempertemukan India dan Singapura yang kesemuanya menang saingan suku akhir dengan 3-0.

India menewaskan Mauritius, Singapura menjinakkan Australia dan England menundukkan Kanada.