Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan dan Riadah Carrara di sini, skuad campuran negara yang diketuai Datuk 
Lee Chong Wei tidak langsung memberi muka kepada pihak lawan, England dengan kemenangan selesa 3-0.

Beregu lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turun sebagai wakil pertama tidak menghampakan 
apabila menewaskan gandingan England, Chris Langridge-Marcus Ellis 21-9, 21-11 dalam masa 32 minit.

Aksi kedua menyaksikan Soniia Cheah yang turun dalam acara perseorangan wanita dipaksa bekerja keras sehingga 
diheret tiga set sebelum menang ke atas lawannya, Chloe Birch 21-17, 15-21, 21-18 dalam masa 67 minit.

Chong Wei memberikan mata kemenangan buat pasukan negara dengan menewaskan Rajiv Ouseph 21-18, 21-16 ketika turun sebagai wakil ketiga dalam acara perseorangan lelaki.

Perlawanan akhir esok akan menemukan Malaysia dengan India (pukul 3.30pm waktu Malaysia), manakala perlawanan penentuan pingat gangsa akan menyaksikan pertembungan antara Singapura dengan England. - UTUSAN ONLINE