Hanya dua lagi pingat emas untuk melengkapkan sasaran selepas Malaysia mengumpul keseluruhan lima pingat emas setakat ini sejak bermulanya temasya berkenaan pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, jawapan sama ada ia berjaya atau sebaliknya mungkin diketahui esok kerana dijangka tugas berat melaksanakan pemburuan pingat emas itu diletakkan ke bahu pemain badminton negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei.

Selain Chong Wei bagi acara perseorangan lelaki, misi untuk melakssanakan impian negara dipikul pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Vivian Hoo-Chow Mew Kuan (beregu wanita).

Namun, ini bergantung kepada keputusan separuh akhir yang berlangsung hari ini jika keempat-empat wakil negara melepasinya.

Dengan keyakinan tinggi ditunjukkan pemain badminton negara, diiringi sokongan dan doa rakyat Malaysia, hasrat ini mungkin tercapai.

Semalam, Amy Kwan, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji ‘memudahkan’ sedikit perjalanan memburu tujuh pingat emas apabila mereka meraih dua emas dalam dua saingan berbeza, gimrama bagi disiplin riben dan boling padang berpasangan wanita.

Dengan keseluruhan lima pingat emas setakat ini, diharap pemain badminton negara turun dengan penuh bersemangat untuk membawa misi negara itu sebagaimana keyakinan daripada rakyat Malaysia termasuk Ketua Kontinjen, Huang Ying How.