Selepas gagal mempertahankan emas acara berpasukan campuran Isnin lalu, pemain-pemain negara nampak begitu bersemangat untuk menebus imej yang tercalar itu dengan mempamerkan aksi mantap di pusingan kedua hari ini.

Datuk Lee Chong Wei seperti biasa mengetuai kemaraan bersih pemain negara dengan menewaskan pemain Uganda, Brian Kasirye 21-6, 21-6 untuk bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir acara perseorangan lelaki.

Ini diikuti jejaknya oleh dua beregu lelaki negara, Goh Soon Huat-Chan Peng Soon dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang juga tidak menghadapi masalah besar untuk mara.

V Shem-Wee Kiong yang mendapat bye di pusingan pertama, menang 21-5, 21-5 ke atas beregu Ghana, Sam Daniel-Donkor Emmanuel manakala Soon Huat-Peng Soon menewaskan beregu England, Chris Adcock-Ben Lane 12-21, 21-13, 21-17.

Pada suku akhir esok, Soon Huat-Peng Soon akan bertemu beregu India, R.Satwik-S. Chirag Chandrashekhar manakala V Shem-Wee Kiong akan menentang beregu Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan Soniia Cheah mara selepas menewaskan pemain Singapura, Grace Chua 21-11, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan pemain Kanada, Michelle Li.

Dua beregu wanita turut mara selepas Soniia-Shevon Lai menang ke atas beregu Ireland Utara, Sinead Chambers-Rachael Darragh 21-19, 21-7 manakala Vivian Hoo-Chow Mei Kuan menewaskan beregu Kanada, Rachael Honderich-Kristen Tsai 21-17, 21-16.

Soniia-Shevon akan menentang beregu Australia, Setyana Mapasa-Gronya Somerville manakala Vivian-Mei Kuan menentang beregu England, Chloe Birch-Jessica Pugh.

Dalam saingan beregu campuran pula, gandingan Peng Soon-Goh Liu Ying mara selepas menewaskan beregu Scotland, Alexander Dunn-Eleanor O’Donnel 21-9, 21-16 manakala Soon Huat-Shevon Lai menundukkan beregu Ghana, Emmanuel Donkor-Stella Koteikai Amasah 21-3, 21-10.

Menanti Peng Soon-Liu Ying di suku akhir esok adalah beregu India, Pranaav Chopra-N. Sikki Reddy manakala Soon Huat-Shevon juga menentang beregu India, R. Satwik-P. Ashwini.