VIKTOR AXELSEN

Juara dunia 2017 itu berkata, keputusan untuk tidak menyertai kejohanan itu akan dilakukan bergantung kepada keada­an fizikalnya.

Komen jaguh dari Denmark itu menjadikannya pemain kedua selepas Datuk Lee Chong Wei menyatakan kesediaan untuk membayar denda AS$5,000 (RM19,800) yang ditetapkan BWF jika tidak menyertai kejohanan ditetapkan.

Katanya, setiap pemain utama dunia kini terpaksa menyertai hampir 20 kejohanan sepanjang tahun dan perkara itu membuka ruang kepada mereka untuk mengalami kecederaan selain tidak mampu untuk ber­ada dalam tahap terbaik.

“Saya perlu menjaga badan saya kerana saya mahu bermain untuk tempoh 10 tahun lagi dan saya tidak mahu bersara awal akibat mengalami kecederaan ekoran peraturan baharu BWF ini.

“Seandainya kami dikenakan denda kerana bertindak menjaga kesihatan badan kami, maka itu adalah salah BWF dan seharusnya mereka menilai semula masalah ini.

“BWF perlu membuat pertimbangan kerana ada pemain seperti Lee Chong Wei terpaksa menyertai terlalu banyak kejohanan tahun ini termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya selepas menumpaskan Kenta Nishimoto 21-13, 23-21, 21-18 untuk memenangi acara perseorangan lelaki Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Baru-baru ini jaguh negara, Chong Wei menyatakan kesediaannya untuk tidak menyertai beberapa kejohanan di atas faktor fizikal dan usia.

Sementara itu, Axelsen memberitahu, skuad Denmark tidak berdepan masalah besar untuk membuat persiapan ke Piala Thomas memandangkan mereka tidak perlu menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Persiapan kami agak baik, kami memiliki masa untuk menjalani latihan bersama dengan lebih kerap memandangkan tidak banyak kejohanan besar yang perlu kami sertai pada awal tahun ini,” katanya.