Axelsen yang juga juara dunia hanya menang dua kali daripada lapan pertemuan dengan Momota yang kini menghuni ranking ke-10 dunia.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu ialah pada separuh akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei lalu yang me­nyaksikan Axelsen tewas 17-21, 9-21 dalam aksi perseorangan pertama.

“Saya tewas banyak kali kepada Kento dan masih belum jumpa ramuan terbaik untuk menewaskannya. Saya sedang bekerja keras untuk mencari jalan penyelesaian.

“Saya berharap akan ber­temunya pada masa akan datang,” katanya ketika di­te­mui, di sini hari ini.

Axel­sen yang merupakan pilihan utama Terbuka Malaysia akan bertemu Khosip Phetpradab dari Thailand dalam perlawanan pembukaan.

Momota pula akan memulakan kempen dengan aksi menentang Anthony Ginting (Indonesia), manakala Son Wan Ho dari Korea Selatan dijangka menanti pada pusingan kedua.

Dia dijangka berdepan Chou Tien Chen dari Taiwan jika mara di suku akhir.

Bagaimanapun, Axelsen berkemungkinan besar bertemu jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang sedang memburu kejuaraan ke-12 di peringkat suku akhir.

“Tidak dinafikan Chong Wei sangat cemerlang ketika beraksi di Malaysia dan sudah menjadi juara di sini banyak kali.

“Saya tidak fokus kepada siapa lawan saya di suku atau separuh akhir tetapi fokus kepada perlawanan pertama saya esok.

“Jika saya bertemu Chong Wei kali ini, saya akan bermain sebaik mungkin kerana sudah pasti ia bakal menjadi perlawanan yang sangat sukar,” katanya lagi.