Semalam, Arif meluahkan kekecewaannya di media sosial selepas dia dan gandingannya dalam beregu lelaki, Azriyn Ayub ditamatkan perkhidmatan biarpun masih dalam tempoh percubaan sehingga bulan depan.

Arif, 29, dan Ariyn dipanggil semula ke pangkuan skuad kebangsaan, Mei lalu bersama seorang lagi pemain, Lim Khim Wah. Dia kemudian dipilih untuk menggalas cabaran Malaysia dalam Piala Thomas di Bangkok.

“Hari ini Azriyn dan saya menerima berita buruk dari BAM apabila mereka mahu kami meninggalkan pasukan. Ini tidak adil kerana kami sudah mengadakan perjanjian bersama penaja bagi membolehkan kami terus berada dalam badan induk ini.

“Kami diminta untuk meninggalkan skuad kebangsaan tetapi tempoh percubaan hanya akan berakhir pada Julai.

“Apa yang BAM sudah lakukan kepada kami sepanjang tempoh ini? Kami tidak beraksi dalam sebarang kejohanan, jadi bagaimana kami mahu membuktikan kemampuan kami?

“Kalau kami tahu ia akan menjadi seperti ini, sudah pasti kami tidak akan menyertai skuad kebangsaan,” kata Arif dalam Instagram sejurus selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Arif kemudian memadam status tersebut, dan menegaskan, dia tidak mahu lagi memanjangkan perkara itu sambil meminta maaf kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Semalam saya berjumpa Pengurus Besar BAM (Michelle Chan Han Ching), dia beri notis peletakan jawatan ini dan saya bertanya mengapa saya digugurkan?

“Jawapan diberikan adalah keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) diadakan, dan dia hanya beritahu BAM mahu memberi tumpuan kepada pemain bawah 21 (B-21),” katanya.