Semalam, Arif meluahkan kekecewaan di media sosial selepas dia dan gandingannya dalam beregu lelaki, Nur Azriyn Ayub ditamatkan perkhidmatan biarpun masih dalam tempoh percubaan sehingga bulan depan.

Arif, 29, dan Ariyn dipanggil semula ke pangkuan skuad kebangsaan, bulan lalu bersama seorang lagi pemain, Lim Khim Wah. Dia kemudian dipilih untuk menggalas cabaran Malaysia dalam Piala Thomas di Bangkok.

“Hari ini Azriyn dan saya menerima berita buruk dari BAM apabila mereka mahu kami meninggalkan pasukan. Ini tidak adil kerana kami sudah mengadakan perjanjian bersama penaja bagi membolehkan kami terus berada dalam badan induk ini.

“Kami diminta untuk meninggalkan skuad kebangsaan tetapi tempoh percubaan hanya akan berakhir pada Julai.

“Apa yang BAM sudah lakukan kepada kami sepanjang tempoh ini? Kami tidak beraksi dalam sebarang kejohanan, jadi bagaimana kami mahu membuktikan kemampuan kami?

“Kalau kami tahu ia akan menjadi seperti ini, sudah pasti kami tidak akan menyertai skuad kebangsaan,” kata Arif dalam Instagram sejurus selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Arif kemudian memadam status tersebut dan menegaskan, dia tidak mahu lagi memanjangkan perkara itu sambil meminta maaf kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kerana menjadi mangsa kecaman netizen.

“Saya terima perkara ini kerana tidak mahu memanjangkannya. Saya juga ingin mohon maaf kepada Presiden BAM kerana beliau dikecam netizen di media sosial ekoran daripada status yang dimuatnaik oleh saya.

“Bagaimanapun saya sudah memadam status tersebut. Datuk Seri Norza banyak tolong saya, jadi beliau tidak patut menerima kecaman seperti itu,” kata bekas naib juara perseorangan remaja Asia itu ketika dihubungi Utusan Online. - UTUSAN ONLINE