Pengelola kejohanan, Amir Marwan Abu Kassim berkata, pe­nganjuran pertama kali itu bertujuan untuk mengumpul pe­main dan peminat badminton dari semua lapisan usia di daerah ini supaya dapat menunjukkan bakat serta mempamerkan kemahiran sukan berkenaan.

“Pihak penganjur mengadakan kejohanan pada setiap kali cuti hujung bulan untuk memi­lih bakat pemain pelapis mewa­kili daerah di samping mengga­lakkan sukan badminton dalam kalangan semua peringkat.

“Kita menerusi kerjasama Pe­jabat Pendidikan Lipis dan agensi kerajaan di sini akan menjadikan sukan teras ini sebagai kegiatan kecergasan selari dengan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan tersebut.

Menurut Amir Marwan, pihak penganjur menetapkan kejohanan sukan itu sebagai acara bulanan dengan menyediakan hadiah lumayan sambil mempelawa lebih ramai pemain perseorangan dan bergu membabitkan penyertaan pelbagai kaum.

“Kita mengaktifkan semula sukan ini yang hampir malap di peringkat daerah memandangkan banyak prasarana seperti di sekolah, dewan orang ramai kawasan perumahan bandar dan Majlis Daerah Lipis perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Arif Mohd. Bedu dari Kampung Tempoyang muncul johan perse­orangan setelah menumpaskan ra­kannya, Junaidi Jasni dari Bandar Baharu Lipis dengan straight set 21-17, 21-14.

Mohd. Arif berpasangan dengan Junaidi Jasni sekali lagi mengungguli acara bergu kejohanan itu apabila muncul johan dengan menum­paskan pasangan Amirul Amin Mustapa dan Amirul Bahari juga straight set 21-15, 21-10.

Johan acara perseorangan dan bergu masing-masing memenangi hadiah Piala Pusingan Amir Brothers, wang tunai dan hamper. Bagi tempat kedua menerima hadiah wang tunai dan hamper.