Hanya membawa enam pemain ke Bangkok, Algeria muncul negara Arab pertama layak beraksi dalam kejohanan badminton berpasukan dunia itu, pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh Adel Hamek.

Adel, 25, yang merupakan peminat No. 1 Datuk Lee Chong Wei juga mengakui, berjaya beraksi dalam Piala Thomas memberi kepuasan buat mereka yang menggunakan wang sendiri untuk bertanding.

“Kami negara Arab pertama layak beraksi dalam Piala Thomas dan ia satu penghormatan.  Kami berlatih sepanjang tahun untuk layak.

“Pasukan kami hanya dianggotai enam pemain, bermakna ada yang perlu bermain dua kali dalam acara  perseorangan dan beregu, seperti saya.

“Kejayaan Algeria layak ke Piala Thomas membuktikan badminton sudah berkembang. Saya tidak boleh menyara hidup menerusi badminton tetapi keadaan mungkin berubah pada masa akan datang.

“Saya tinggal di Perancis, berlatih di sana tetapi dalam masa saya juga mencari pekerjaan lain. Dulu saya bekerja di bar pada waktu malam dan berlatih badminton, ia tidak mudah tetapi kami kena bekerja untuk menampung hidup.

“Kami tidak ditampung oleh sesiapa untuk datang ke sini, kami menggunakan perbelanjaan sendiri dan dibantu penaja individu. Semua ini dilakukan kerana cinta terhadap badminton,” ujar Adel.