Itu bermakna Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sedia berundur daripada bertanding sekiranya idea yang dikemukakan salah seorang daripada mereka lebih meyakinkan, kata sumber dalaman BAM kepada Utusan Malaysia.

Kedua-dua Timbalan Presiden BAM itu, yang merupakan calon yang ada setakat ini untuk mengisi kedudukan presiden bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bakal membincangkan status mereka dalam masa terdekat dengan agenda utama pertemuan yang akan berlangsung adalah untuk melihat siapa lebih layak memimpin badan badminton kebangsaan itu.

“Kedua-dua calon sebenarnya layak menjadi Presiden BAM ke­rana masing-masing ada pengalaman serta kemampuan, namun mereka mempunyai idea yang berbeza untuk membangunkan badminton tanah air.

“Pertemuan antara Tan Sri Al Amin dan Datuk Seri Norza nanti dijangka membincangkan me­ngenai apa perancangan masing-masing seandainya dipilih sebagai presiden. Salah seorang daripada mereka bersedia memberi laluan jika perancangan yang dikemukakan calon satu lagi jelas lebih baik.

“Tiada istilah siapa calon po­pular kerana kedua-dua mereka mendapat sokongan sama kuat daripada Exco. Jadi, mereka sendiri perlu memutuskan siapa lebih layak untuk mengisi kerusi No. 1 BAM selepas mendengar pembentangan masing-masing,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber tersebut, dalam mesyuarat Exco yang diadakan di Kuching pada 8 April lalu, beberapa ahli majlis turut mencadangkan supaya diwujudkan jawatan Presiden Kehormat untuk diberi kepada salah seorang Timbalan Presiden yang tidak bertanding, namun cadangan itu ditolak oleh kedua-dua calon berkenaan.

Kata sumber itu lagi, antara perkara yang bakal dibentangkan dua pemimpin tersebut adalah perancangan serta pendekatan yang akan digunakan bagi melahirkan pemain masa depan untuk menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan antarabangsa, merangkumi Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

“Seandainya perancangan pembangunan badminton negara yang ditampilkan Mohamed Al Amin lebih baik maka laluan akan diberikan kepadanya dan perkara sama akan berlaku sekiranya Mohamad Norza hadir dengan idea yang lebih meyakinkan,” katanya lagi.

Melihat kepada situasi tersebut, jelas tidak akan berlaku pertan­dingan untuk jawatan presiden dan ia akan diselesaikan dengan cara terbaik demi kepentingan badminton Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Al Amin ketika dihubungi enggan mengulas mengenai butiran pertemuan, sebaliknya menegaskan semuanya akan diputuskan selepas beliau bertemu Mohamed Norza dalam tempoh terdekat.

“Sekarang belum ada keputusan kerana saya belum bertemu (Mohamad Norza). Jangan bimbang, saya akan beritahu semua media sebaik sahaja pertemuan diadakan.

“Saya juga tidak kata akan berjumpa hari ini, mungkin dalam dua atau tiga hari lagi...harap bersabar. Apa pun keputusan, ia adalah yang terbaik untuk badminton,” katanya.

Mohamed Norza ketika dihubungi juga sependapat dengan Al Amin bahawa keputusan belum dibuat selagi pertemuan tidak berlangsung.

“Biar saya jumpa dahulu (Al Amin). Pertemuan itu tidak berlangsung hari ini, jadi tiada keputusan. Tiada apa yang boleh saya ulas hingga pertemuan itu diadakan,” katanya.