Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui berkata, sebelum ini mereka sering terkandas di pusingan awal tetapi di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 bernilai AS$700,000 (RM2.86 juta) itu, mereka mampu melangkah hingga ke separuh akhir.

Dia bagaimanapun berharap pasangan itu akan terus memperbaiki persembahan mereka kerana buat masa sekarang standard permainan mereka masih berlum mencapai tahap yang diharapkan.

“Sebelum ini mereka ada berhadapan masalah keluarga dan sebagai jurulatih saya perlu berikan sokongan kepada mereka kerana semua orang akan mengalami situasi seperti mereka.

“Memang keputusan di sini sangat baik untuk tetapi saya harap mereka boleh kekal konsisten dan terus menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Mengulas mengenai kedudukan semasa beregu campuran, Eei Hui masih melihat Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebagai pasangan terbaik negara ketika ini beradarkan kepada ranking dunia serta pengalaman yang dimiliki.

Jika dibandingkan dengan Goh Soon Huat-Shevon Lai, Peng Soon-Liu Ying lebih matang dari segi permainan namun Eei Hui melihat jurang kedua-dua pasangan itu tidak jauh berbeza.

“Kalau boleh memang saya mahu ketiga-tiga pasangan ini berada dalam kedudukan terbaik kerana saingan akan terbuka kepada semua.

“Keadaan itu juga akan membuatkan perkembangan pemain menjadi lebih cepat,” katanya.- UTUSAN ONLINE