Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihak­nya telah mengenal pasti sebuah kawasan seluas 20 hektar di Sungai Petani untuk membina akademi itu.

“Kami memang menyediakan tapak dengan keluasan 150 ekar (60 hektar) di Sungai Petani untuk melaksanakan pembinaan Akademi Badminton Lee Chong Wei oleh pihak swasta.

“Dari jumlah tersebut memang ada cadangan tapak seluas 50 ekar (20 hektar) untuk membina litar lumba, 50 ekar lagi bagi pembinaan Akademi Badminton Lee Chong Wei manakala selebihnya disimpan mungkin bagi peranca­ngan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM-Ayer Hitam) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini mengenai pembinaan Akademi Badminton Lee Chong Wei yang menurutnya dipindahkan ke Johor hingga membawa kerugian kepada Kedah.

Menurut Ahmad Bashah, pembinaan akademi badminton tersebut masih dalam perbinca­ngan dengan pihak swasta kerana pelaburan tersebut daripada mereka manakala projek litar lumba dilaksanakan segera kerana mendapat peruntukan kerajaan pusat.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberi RM30 juta dan pembersihan tapak tersebut telah pun disiapkan,” ujarnya.