Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan bahawa bekas juara remaja kebangsaan dari Selangor itu akan mula me­laporkan diri pada 3 Disember depan.

"BAM memberi surat tawaran kepada Aidil minggu lalu melalui Persatuan Badminton Selangor dan kami juga sudah bercakap dengan Aidl mengenai perkara ini dan beliau bersetuju sertai BAM," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa BAM di sini hari ini.

Aidil, 18, membuktikan kemampuannya meskipun tidak berada dalam program kebangsaan, selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 baru-baru ini.

Beliau tewas straight set dalam perlawanan akhir kepada pemain Pulau Pinang yang juga pemain remaja negara, Tan Jia Wei 16-21, 19-21 untuk meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.

Dalam pada itu, pada mesyuarat berkenaan, Mohamad Norza berkata, semua ahli majlis bersetuju meminda Artikel 9 dalam konstitusi BAM berkaitan jawatan Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.

"Dalam mesyuarat agung luar biasa ini, kami meluluskan pemindaan jawatan berkenaan kepada jawatan yang baru melibatkan Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung dan Bendahari.

"Ia selari dengan keperluan persatuan yang merasakan peningkatan tanggungjawab dan tugasan perlu dipikul ketiga-tiga jawatan tersebut dan jawatan sebelum ini perlu diubah kepada jawatan baharu," katanya.