Pemain berusia 25 tahun itu mendakwa, dia dijatuhi hukuman hanya berdasarkan kepada mesej yang diambil daripada aplikasi WhatsApp tanpa sebarang bukti kukuh lain, termasuk perlawanan manakah yang dikaitkan de­ngan dirinya.

Dia bagaikan terperangkap ketika sesi pendengaran diadakan di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu kerana perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris, yang mana dia tidak begitu fasih, walaupun BWF menyediakan khidmat penterjemah.

“Saya tak nafikan bahawa saya tidak begitu pandai ke­rana saya telah luangkan lebih masa untuk berlatih badminton di bawah naungan ayah berbanding belajar. Pemahaman bahasa Inggeris saya tidak begitu baik, cukup sekadar ayat-ayat yang mudah.

“Pada 2017, BWF menghantar surat kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk memaklumkan bahawa mereka ingin temuduga saya. Saya bersetuju tetapi meminta agar ayah saya dibenarkan ikut kerana dia lebih fasih bahasa Inggeris dan dia boleh menafsirkan percakapan ke tahap pemahaman saya, namun permohonan itu ditolak.

“Saya telah ditemuduga dalam bahasa Inggeris oleh seorang ‘Mat Salleh’ bernama Paul Scotney bersama seorang pentafsir (penterjemah). Apabila soalan-soalannya ditafsir, saya tidak begitu faham, malah ada kalanya ‘Mat Salleh’ itu kata tak perlu tafsir dalam bahasa Melayu.

“Saya tidak begitu faham loghat Scotney yang berasal dari Scotland dan bekas inspektor polis dari Scotland Yard, ko­nonnya polis terkemuka dunia.

“Semasa sesi itu juga, telefon bimbit saya diambil secara paksa dan mereka kemudian menggunakan sejenis mesin untuk mengeluarkan semua WhatsApp saya yang ditulis pada 2013, sebelum membuat pertuduhan lanjut setelah membaca serba sedikit mesej di dalamnya dan tidak dibaca secara penuh membuatkan saya tidak tahu dalam konteks apa perkataan tersebut digunakan.

“Salah satu contoh, ialah semasa Grand Prix (GP) Terbuka Belanda 2013, Tan Chun Seang melawat sebuah kasino di sana dan kami berbincang mengenai pengalamannya menerusi WhatsApp, perkataan ‘bet’ dan ‘jackpot’ telah digunakan dalam perbualan itu. Pihak pendakwaan hanya menggunakan dua perkataan tersebut untuk mengaitkan kami dan menuduh kami terlibat de­ngan kesalahan mengatur perlawanan.

“Tidak lama kemudian saya dituduh dengan tujuh pertuduhan utama iaitu mengatur perlawanan dan secara ringkasnya saya dituduh mengatur perlawanan dalam beberapa kejohanan tetapi tidak tahu melibatkan perlawanan yang mana satu,” katanya yang ditemani keluarga ketika mengadakan sidang akhbar di sini, hari ini.

Bekas juara remaja dunia itu berkata, dia mahu mencabar keputusan BWF yang dianggap meninggalkan banyak ruang untuk dipertikaikan, begitupun untuk mengemukakan rayuan sahaja dia perlu membayar RM100,000.

Justeru, Zulfadli memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya dapat membantunya.

Zulfadli yang kelihatan cukup beremosi dan sesekali menahan sebak turut berkata, dia dengan rasa rendah diri serta penuh keikhlasan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana keputusan BWF itu telah mencemarkan nama baik negara.

“Sebelum mendengar penjelasan saya, semua pihak berasa marah terhadap saya, namun, saya harap pihak-pihak ini percaya bahawa saya adalah mangsa dan bukan pesalah. Saya mohon BAM dan KBS untuk menolong saya merayu dan melindungi saya daripada penindasan BWF,” katanya yang turut dikenakan denda AS$25,000 (RM98,358).