Di atas kertas percubaannya untuk muncul juara kejohanan badminton tertua dunia itu nampak tipis, kalau bukan mustahil, kerana dia bertandang ke Birmingham dalam keadaan kece­deraan di buku lali masih membelenggunya.

Tetapi, semangat juangnya tidak pernah padam.

“All England adalah kejohanan kegemaran saya. Memang saya nak ke sana, tetapi tak sangka boleh menang sebab sebelum itu saya ditimpa kecederaan dan memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih sepenuhnya,” kata­nya kepada wartawan yang me­nunggu kepulangannya di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pemain No. 1 dunia itu mendedahkan, dia terpaksa melupakan kesakitan apabila berada di ge­langgang dan terus memberi fokus mengutip mata demi mata dalam usaha menundukkan pihak lawan.

“Ketika beraksi, saya hanya fokus kepada diri sendiri dan cuba elak... jangan sampai kece­deraan yang saya alami bertambah teruk,” katanya lagi, yang sebelum ini memenangi All England pada 2011, 2012, 2014.

Chong Wei membuktikan semangat mengatasi kesakitan de­ngan mengetepikan pemain muda China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam perlawanan akhir kelmarin.

Kemenangan di Barclaycard Arena, Birmingham itu memberi kesan besar kepada mental Chong Wei, 35, yang berkata sema­ngatnya semakin membara dan kini dia berazam untuk memenangi buat kali ke-12 kejohanan Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai pada 4 Mac ini di Kuching, Sarawak.

Namun, dia menyerahkan kepada dua jurulatihnya Tey Siu Bock dan Hendrawan untuk merangka corak latihannya menjelang kejohanan tersebut memandangkan kecederaan buku lalinya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya akan bertanding dalam Terbuka India di New Delhi (28 Mac hingga 2 April ini), selepas itu Terbuka Malaysia... kerana bagi saya kejohanan tersebut sangat penting dan diharap saya berjaya merangkul kejuaraan ke-12.

“Yang penting apabila sampai di Malaysia, saya ingin berehat dahulu sebelum berlatih kembali. Persediaan menghadapi Terbuka Malaysia nanti, saya akan bergantung kepada jurulatih untuk menentukan corak latihan dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah All England pada tahun depan menjadi destinasi terakhir dalam kariernya, Chong Wei berkata dia akan tetap berjuang selagi memiliki keinginan dan keupayaan untuk beraksi.

“Badminton adalah sukan ke­gemaran saya. Bagi saya, saya akan bersara pada ketika saya sudah tidak terdaya untuk berjuang. Tetapi sebelum itu, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga buat Malaysia.

“Saya juga tidak boleh berjanji adakah saya berupaya sampai ke Sukan Olimpik 2020. Kita ada tempoh dalam tiga tahun lagi. Macam-macam boleh berlaku. Apa yang penting saya perlu fokus pertandingan setahun demi setahun dahulu,” ujarnya.

Chong Wei pernah berkata All England 2017 adalah kejohanan terakhirnya, namun ketika ditemu bual selepas perlawanan akhir memberi jaminan bahawa dia akan kembali pada tahun depan.