Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga menegaskan, tidak kira apa keputusan bakal dilakar pada temasya 18 Ogos hingga 2 September itu, dia berhak dihormati.

Daren, 31, memikat hati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas cemerlang melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China minggu lalu.

Dia mengejutkan beberapa pemain pilihan seperti Jonatan Christie (Indonesia) dan K. Srikanth (India), sebelum tewas kepada juara kejohanan, Kento Momota dari Jepun pada separuh akhir.

“Saya gembira BAM menjemput saya untuk beraksi dalam Sukan Asia dan ia satu penghormatan buat saya dapat beraksi untuk negara.

“Bagaimanapun saya mahu menekankan, saya tidak berada dalam pasukan untuk sekadar memenuhi kuota.

“Saya tidak fikir BAM, pihak yang membuat keputusan akan membenarkan perkara itu berlaku. Saya percaya, mereka sudah memikirkan hal ini sedalam-dalamnya sebelum keputusan diambil.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk membawa kegemilangan buat negara. Saya percaya, tidak kira apa pun yang berlaku, kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan berbanding kepentingan peribadi.

“Pada akhirnya, tidak kira apa keputusan yang diraih (dalam Sukan Asia) nanti, saya berhak dihormati,” kata Daren dalam Facebook.

Selain Daren, yang mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi pada suku akhir Kejohanan Dunia, sembilan lagi pemain lelaki yang melengkapkan skuad Malaysia ke temasya Jakarta-Palembang adalah Leong Jun Hao, Soong Joo Ven, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Chan Peng Soon dan Goh Soon Huat.

Daren, juara Terbuka Perancis 2012 mula bergerak sebagai pemain bebas selepas meninggalkan BAM pada Januari, 2016 untuk memberi laluan kepada pemain muda dalam skuad kebangsaan.

BAM sebelum ini menyenaraikan Cheam June Wei untuk menggantikan Datuk Lee Chong Wei ke Sukan Asia namun keputusan itu berubah selepas Daren membuktikan dia layak mendapatkan tempat ke temasya tersebut.

Kali terakhir Daren menganggotai skuad kebangsaan adalah pada 2014 ketika menjadi ketua pasukan sewaktu Malaysia menjadi naib juara Piala Thomas di New Delhi selain meraih pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel, Glasgow. - UTUSAN ONLINE