Bekas juara dunia dari Indonesia itu bagaimanapun menegaskan, beliau benar-benar tidak mempunyai jawapan kepada semua persoalan tersebut kerana keputusan tidak terletak di tangannya tetapi bergantung kepada banyak faktor lain.

“Saya harap semua bersabar dan jangan terlalu memberi tekanan dalam perkara ini.

“Saya faham, semua amat teruja untuk melihat Chong Wei kembali ke gelanggang, malah mereka semakin resah kerana proses kelayakan Sukan ­Olimpik sudah bermula.

“Cuma saya harap mereka faham, situasi sekarang bukan macam dulu...yang mana saya boleh membuat perancangan sendiri tetapi sekarang kami perlu mendengar nasihat doktor, melihat pelbagai sudut serta pandangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hendrawan lagi, ketika ini Chong Wei masih bercuti dan perbincangan lanjut akan dilakukan sebaik sahaja pemenang tiga pingat perak Sukan O­limpik itu kembali ke sesi latihan minggu depan.

Masa dilihat semakin suntuk buat Chong Wei untuk memulakan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo kerana belum menyertai sebarang kejohanan kompetitif sedangkan aksi kelayakan sudah bermula pada 1 Mei lalu.

Nama Chong Wei tidak didaftarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mana-mana kejohanan setakat ini, termasuk pada Piala Sudirman yang berlangsung di Nanning, China bermula 19 hingga 26 Mei depan.

Situasi tersebut menyebabkan dia kini jatuh ke tangga 113 dalam ranking dunia.

Chong Wei, 36, tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak Terbuka Indonesia, Julai lalu selepas di­sahkan menghidap kanser hidung peringkat awal pada ­September 2018.

Sukan Olimpik akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada 24 Julai hingga 9 Ogos, 2020.