Kalah di set pembukaan, Chong Wei menunjukkan semangat juang tinggi ketika menumpaskan pemain No. 1 dunia yang 11 tahun lebih muda daripadanya, K. Srikanth dari India 19-21, 21-14, 21-14 untuk merangkul emas keenam Malaysia di Gold Coast.

Kemenangan ini bukan sahaja melunaskan dendamnya atas kekalahan kepada Srikanth dalam acara berpasukan campuran, Isnin lalu, malah membolehkan Chong Wei meraih emas Sukan Komanwel buat kali kelima.

Dia turut merangkul emas perseorangan dan berpasukan di Melbourne 2006 dan New Delhi 2010 tetapi tidak mengambil bahagian pada temasya Glasgow 2014.

“Veteran menang hari ini. Pastinya ia kemenangan paling manis dalam penampilan terakhir saya,” kata Chong Wei sejurus tamat permainan.

Menurut Chong Wei, yang genap 36 tahun pada 21 Oktober ini, tekanan yang dirasai hari ini agak luar biasa kerana sedar badminton tidak mencatat keputusan cemerlang di Gold Coast dengan hanya menampilkan dua wakil dalam final dan sebelum itu gagal mempertahankan kejuaraan berpasukan.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan, jangan putus asa. Selepas tamat Sukan Komanwel kita ada lagi kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, mari bangkit dan fokus,” katanya lagi.

Mengenai pertemuan kedua menentang Srikanth, Chong Wei mengakui tidak mudah terutama selepas kalah di set pertama.

“Penat tu memang penat tetapi kerana inginkan emas terakhir ini, saya gagahkan juga untuk membuat yang terbaik.

“Selepas menang set kedua saya dapat keyakinan, di set ketiga..saya hanya ikut rentak dia. Ketika mendahului 5-0 keyakinan semakin meningkat dan dia pula mula melakukan kesilapan mudah,” katanya.