India memenangi emas pertama sejak acara berpasukan diperkenalkan di temasya Edmonton 1978 selepas menyekat penguasaan 12 tahun Malaysia dengan kemenangan 3-1 dalam final di Gold Coast, Australia hari ini.

Srikanth, 25, menyumbangkan mata kedua India selepas mengejutkan Chong Wei, pemain yang tidak pernah dikalahkan dalam empat pertemuan sebelum ini 21-17, 21-14 dalam masa 43 minit.

“Hari ini antara hari yang semuanya berjalan dengan menakjubkan.

“Amat penting untuk kami bermain baik dan tidak melakukan terlalu banyak kesilapan mudah. Saya tidak beri dia peluang mendahului jauh, saya rasa strategi itu menjadi,” kata Srikanth kepada ESPN India.

Menurut pemain kelahiran Guntur, India itu, dia tidak menjangkakan mampu mencatat kemenangan straight-set berdepan lawan hebat seperti Chong Wei.

“Setiap kali bertemu pemain seperti Lee Chong Wei, anda tidak akan menjangkakan ia boleh berakhir straight-set, jadi saya langsung tidak duga kemenangan sebegini.

“Bukan saya tidak bagi dia bermain mengikut rentaknya. Dia pernah menduduki ranking No. 1 dunia untuk tempoh yang sangat lama, jadi ia bukan bergantung kepada lawan untuk menentukan rentak permainannya,” kata pemain No. 2 dunia itu lagi.

Sementara itu, Chong Wei mengakui, lawannya bermain dengan bagus hingga menyukarkan dia mendapat kemenangan.

“Saya tidak dapat mengejar kepantasan Srikanth hari ini. Dia terlalu bagus,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu.

Terdahulu, R. Satwik-P. Ashwini memberi permulaan sempurna buat India dengan menumpaskan naib juara Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 14-21, 21-15, 15-21 dalam saingan beregu campuran.

Selepas Chong Wei tewas kepada Srikanth, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi sedikit harapan buat Malaysia dengan merapatkan kedudukan 1-2 menerusi kemenangan 21-15, 22-20 ke atas R. Satwik-S. Chirag Chandrashekhar.

Sonia Cheah cuba memberi tentangan kepada Saina Nehwal dalam acara perseorangan wanita yang cukup mendebarkan, namun tewas 11-21, 21-19, 9-21 kepada bekas pemain No. 1 dunia itu. - UTUSAN ONLINE