Hari ini, juara lima kali itu (2007, 2009, 2010, 2011, 2013) memerlukan 42 minit untuk mengetepikan Ihsan Maulana Mustofa 21-9, 21-18 di tengah-tengah sorakan 'menggila' penyokong tegar pasukan tuan rumah dan melangkah ke final.

Kejayaan tersebut meletakkan jaguh perseorangan negara itu hampir merampas kembali gelaran No. 1 dunia dan akan berdepan jaguh Denmark, Jan O Jorgensen dalam aksi hari ini.

“Saya tahu ramai yang teruja mahu lihat saya kembali me­rampas kedudukan No. 1 dunia, tetapi harap bersabar...saya belum ambil lagi takhta itu.

“Masuk final, saya makin hampir jadi No. 1, muncul juara...sah saya No. 1. Jadi, doakan saya menang esok,” kata Chong Wei kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Ihsan, Chong Wei yang ternyata lebih berpengalaman berkata, permain muda Indonesia itu bagus tetapi kurang pengalaman.

“Dia masih muda. Mungkin setahun dua lagi dia akan jadi pemain terbaik. Kemungkinan termasuk dalam 10 pemain terbaik dunia,’’ katanya selepas perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Chong Wei 'menukar pengakuan' apabila berkata, dia mungkin akan menyertai Terbuka Indonesia pada tahun hadapan, bergantung ke­pada keadaan mental dan fizikalnya.

“Kalau keadaan baik dan saya tidak cedera, mungkin tahun depan saya sertai sekali lagi Terbuka Indonesia,” katanya yang sebelum ini menyatakan kemungkinan kejuaraan yang berlangsung sekarang adalah yang terakhir baginya.

Kegembiraan Malaysia di Stadium Istora Senayan bagaimanapun sedikit terencat apabila beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang pertama kali mara ke separuh akhir dalam Siri Super Premier ini terpaksa akur kepada kehebatan pasangan No.3 dunia dari China, Tang Yuan­ting-Yu Yang 15-21 dan 9-21

Beregu utama negara itu gagal mempamer permainan cemerlang seperti yang ditunjukkan ketika menyingkirkan pasangan tuan rumah, Aggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut 21-14, 21-19 pada suku akhir, semalam.

Vivian mengakui permainan mereka semasa menentang beregu China jauh dari memuaskan.

“Kami akui permainan kami agak teruk.

“Kami sering buat kesi­la­pan menyebabkan lawan mudah mengutip mata,’’ katanya yang berharap dapat meningkatkan mutu permainan dalam Terbuka Australia dan Terbu­ka Taiwan nanti. 
– mingguan