Bekas jaguh No. 1 dunia itu percaya Malaysia sudah mempunyai calon pemain perseora­ngan yang mampu menggantikan tempatnya iaitu Lee Zii Jia, selain Leong Jun Hao.

Chong Wei, yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala Thomas 2018 selepas menewaskan pemain muda Indonesia, Anthony Ginting 21-19, 21-16 dalam peringkat suku akhir hari ini berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat menyediakan program terbaik bagi memastikan bakat yang dimiliki tidak disia-siakan.

“Kita boleh lihat Zii Jia bermain baik dalam Piala Thomas kali ini dan prestasinya sudah tentu akan memberi galakkan kepada pemain muda lain, terutama dalam skuad pelapis untuk turut memberikan tentangan.

“Pemilihan Jun Hao dalam kejohanan besar seperti Piala Thomas juga akan memberi galak­kan kepada pemain muda di luar sana.

“Mereka mengingatkan saya kepada zaman muda, yang mana saya perlu bersaing dengan pemain utama seperti Wong Choong Hann, Ismail Saman dan Sairul Amar Ayob untuk mendapat tempat dalam pasukan.

“Sekarang pun kalau kita lihat di peringkat antarabangsa ada ramai pemain muda, seperti Anthony yang baru berusia 21 tahun iaitu 15 tahun lebih muda dari­pada saya tetapi sudah menggalas cabaran perseorangan pertama Indonesia.

“Saya harap pemain muda Malaysia seperti Zii Jia dan Jun Hao juga dapat memberikan tentangan, tetapi jurulatih dan pihak pengurusan perlulah melakukan yang terbaik untuk menaikkan pemain-pemain ini.

“Kalau kena berhenti sekarang pun saya lega kerana saya tengok Zii Jia sudah mampu untuk me­langkah ke peringkat lebih tinggi tetapi cuba menempatkan diri dalam kelompok 40 terbaik dunia terlebih dahulu dalam masa terdekat,” kata Chong Wei.

Zii Jia, 20, memenangi ke­semua tiga perlawanan peringkat kumpulan, termasuk mengejutkan jaguh Denmark, Hans-Kristian Vinttinghus 21-18, 21-18 semalam.

Juara remaja Asia, Jun Hao, 18, pula diberi kepercayaan membuat penampilan sulung dalam Piala Thomas ketika Malaysia menentang Algeria Selasa lalu dan memenangi perlawanannya.

Zii Jia kini menghuni kedudukan ke-45 dunia, manakala Jun Hao di anak tangga ke-95. – UTUSAN