Legenda badminton Denmark itu juga mengakui, dia tidak pasti apakah masih kekal di Malaysia dalam tempoh enam bulan terakhir, malah menegaskan tidak mempunyai perancangan lain sebaik sahaja tamat kontrak.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan Frost, 59, menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengarah Teknikal pada 11 September lalu dengan enam bulan notis.

“Saya ingin tegaskan keputusan ini dibuat atas sebab peribadi yang saya tidak akan dedah, namun ia tiada kaitan dengan keputusan sepanjang 2017.

“Sejujurnya, saya tidak rasa keputusan tahun ini teruk walaupun terdapat beberapa kekurangan seperti gagal ke separuh akhir Piala Sudirman serta tidak capai sasaran dua emas Sukan SEA.

“Paling jelas ialah kelemahan pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan kita sudah cuba perbaiki prestasi mereka.

“Saya juga merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan jurulatih kerana saya tidak mahu berlaku sebarang salah faham,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Skuad badminton negara tidak meraih keputusan positif tahun ini, termasuk gagal mencapai sasaran separuh akhir Piala Sudirman, Mei lalu serta gagal meraih dua emas yang disasarkan dalam Sukan SEA ke-29, bulan lalu.

Frost berkata, keputusan melepaskan jawatan bukan suatu yang mudah dan pelbagai pertimbangan diambil sebelum menghantar notis.

Bagaimanapun, dia tetap gembira dengan pencapaian Malaysia selepas dua tahun setengah berkhidmat di sini dan pasa masa sama tidak menyesal meninggalkan BAM.

Frost yang terkenal dengan jolokan ‘Mr. Badminton’ bagaimanapun merasakan BAM perlu mencari Pengarah Teknikal yang baharu sebagai perantara di antara jurulatih serta Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan.

“Saya tiada nasihat untuk diberikan kepada sesiapa yang akan menggantikan saya kerana setiap orang memiliki pendekatan berbeza, jadi nasihat saya tidak relevan,” katanya.