Prestasi beregu badminton No. 1 negara itu mengalami kemerosotan sejak meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Banyak pihak menggesa agar bekas gandingan No. 1 dunia tersebut dipisahkan, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih cuba memberi pe­luang kerana pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 akan bermula pada 1 Mei tahun depan.

“Kami sudah berbincang mengenai prestasi V Shem-Wee Kiong dan (Wong) Choong Han juga ada bertemu mereka secara peribadi untuk mengetahui situa­si semasa.

“Mereka akan diberi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) baharu, sekiranya gagal menepati piawaian ditetapkan, pasangan ini tidak akan lama di BAM.

“Mereka ada pilihan iaitu tinggalkan BAM dan bergerak secara profesional serta mencari tiket ke Sukan Olimpik sendiri,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai dalam sidang akhbar, hari ini.

V Shem-Wee Kiong menunjukkan penurunan ketara selepas tersingkir awal dalam beberapa siri kejohanan terakhir tahun ini, termasuk Korea Masters, Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Indonesia.

Keputusan itu menyaksikan mereka tidak berjaya menyertai Final Siri Jelajah Dunia di Guangzhou selepas gagal berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, selain jatuh ke ranking 15.

Sementara itu, Choong Han yang juga Pengarah Kejurulatihan BAM, memberitahu, beregu itu diberi sasaran baharu bagi membolehkan mereka menaikkan semula prestasi mereka.

Dia juga akan menambah baik sistem latihan mereka dan memberi tumpuan kepada beberapa aspek tambahan lain termasuk kemahiran-kemahiran baharu.

“Saya juga percaya hubungan mereka sudah bertambah baik dan tidak seperti sebelum ini.

“Sudah sampai masanya untuk mereka menggunakan segala kelebihan yang mereka ada,” katanya.