Walaupun beberapa kali gagal dalam percubaan merangkul gelaran dunia mahu pun Olimpik, namun jaguh No. 1 dunia itu bersedia memahat sejarah dengan muncul juara dunia paling tua andai berjaya merealisasikan impiannya di Glasgow, 21-27 Ogos ini.

Legenda badminton Indonesia, Rudy Hartono kekal sebagai perseorangan lelaki paling tua memenangi kejuaraan dunia pada usia 31 tahun ketika memenanginya di Jakarta pada 1980.

“Apa yang penting saya membuktikan kepada sesetengah pihak bahawa saya masih mampu bersaing di peringkat tinggi dan keputusan untuk tidak berundur selepas Sukan Olimpik adalah tepat.

“Sekarang, saya bersedia memburu kejuaraan yang tidak pernah saya menangi iaitu kejohanan dunia. Kemenangan ini meningkatkan keyakinan dan motivasi saya untuk mencari kejuaraan di Glasgow,” kata Chong Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Chong Wei meletakkan Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Glasgow sebagai sasaran utamanya pada 2017, malah sanggup mengetepikan Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur demi mengejar impian yang tidak pernah dicapai.

Semalam, Chong Wei merangkul gelaran All England keempatnya selepas mengalahkan pemain muda China, Shi Yuqi 21-12, 21-10. Tiga lagi kejuaraannya sebelum ini hadir pada 2010, 2011 dan 2014.

Kejayaan ke atas Yuqi Itu adalah kemenangan ketiga Chong Wei ke atas lawan yang sama selepas kali pertamanya melakukannya pada Terbuka Kanada 2015 dan Terbuka Jepun setahun kemudian.

Selepas merangkul kejuaraan keempat dalam kejohanan badminton tertua dunia itu, Chong Wei turut memasang misi untuk meneruskan momentum pada Siri Super Terbuka India yang akan berlangsung 28 Mac hingga 2 April ini.

“Saya sangat gembira kerana kerja keras untuk memastikan saya dapat bermain di England akhirnya berbalas.

“Jelas sekali saya mengambil keputusan yang tepat datang ke sini meskipun baru pulih daripada kecederaan.

“Saya sedang dalam proses untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana kompetitif seperti sebelum ini.

“Selepas ini, saya akan beraksi dalam beberapa pertandingan sebelum saingan di Glasgow. Harap saya dapat meneruskan kecemerlangan sebelum Kejohanan Dunia bermula,” katanya lagi.