KUALA LUMPUR 18 Jan. - Tiga pasangan beregu lelaki melengkapkan malam bergaya Malaysia apabila berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters, hari ini.


Gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjadi pasangan pertama melengkapkan kemaraan selepas mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-19, 21-16 untuk bertemu satu lagi pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-19.


Pertemuan itu menyaksikan Malaysia sudah memiliki satu pasangan yang layak beraksi di pentas final yang akan berlangsung Ahad ini.


Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga tidak ketinggalan melangkah ke saingan empat pasangan terbaik dengan menyingkirkan pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyuki Endo- Yuta Watanabe 22-20, 21-15.


Bagaimanapun mereka akan berdepan laluan sukar selepas dijadual berdepan pasangan No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menang 21-13, 23-25, 21-14 ke atas pilihan ketujuh dari Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko.- UTUSAN ONLINE