Aksi di Stadium Nimibutr, Bangkok itu menyaksikan pasangan beregu campuran negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya mengetepikan cabaran wakil Indonesia, Yantoni Edy Saputra-Marshiella Gischa Islami 21-14, 21-19 dalm tempoh 34 minit.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$150,000 (RM598,276) itu turut menyaksikan satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yin Wei berjaya ke suku akhir selepas mengetepikan pasangan dari Perancis, Bastian Kersaudy-Lea Palermo 21-7, 21-11.

Yin Wei ketika dihubungi pemberita memberitahu, dia sangat teruja dengan kejayaan itu meskipun tidak menjangkakan dapat mencatatkan kemenangan mudah ke atas pasangan yang mengejutkan pilihan keenam dari Rusia, Vitalij Durkin-Nina Vislova di pusingan pertama.

“Saya memang tidak jangka dapat kemenangan mudah seperti ini tetapi semalam kami ada menyaksikan rakaman perlawanan mereka, jadi kami dapat melakukan strategi terbaik untuk menundukkan mereka.

“Memang saya rasa sangat seronok kerana ini kali pertama saya melangkah ke suku akhir Thailand Masters dan kini berpeluang untuk melunaskan dendam ke atas pasangan Indonesia (Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow) yang menewaskan kami di (Cabaran Antarabangsa) Singapura tahun lalu,” katanya.

Turut melangkah ke suku akhir, pilihan ketiga yang juga pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menundukkan Yulfira Barkah-Nitya Krishinda Maheswari 21-18, 15-21, 21-7.

Dalam pada itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah juga mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menyingkirkan wakil tuan rumah Thamolwan Poorpradubsil 21-14, 21-10.-UTUSAN ONLINE