Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan badan induk sukan badminton negara itu menghantar lebih ramai pemain di pentas kejohanan antarabangsa sudah mula memberikan hasil positif.

Katanya, secara tidak langsung mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada prestasi pemain senior semata-mata seperti sebelum ini.

MOHAMAD NORZA ZAKARIA
MOHAMAD NORZA ZAKARIA 

“Sewaktu saya menjadi Pengerusi C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan), saya berjaya melahirkan Olimpian dan tiga pingat perak di Sukan Olimpik Rio.

“Untuk Tokyo 2020, kita tidak boleh hanya bergantung kepada pemain-pemain lama sebaliknya perlu menyandarkan harapan kepada pemain muda dan situasi ini juga baik untuk Piala Thomas dan kejohanan-kejohanan besar.

“Jika dilihat secara keseluruhan, di setiap bahagian, kita memiliki pemain berusia di bawah 21 tahun,” katanya selepas final Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Antara pemain muda paling berjaya ketika ini ialah Goh Jin Wei yang berjaya merangkul kejuaraan remaja dunia buat kali kedua dan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Remaja, selain, Lee Zii Jia yang menjadi juara Terbuka Taiwan serta naib juara Korea Masters.

Selain itu, terdapat beberapa pemain mula menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See serta Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran).

Kedudukan semasa skuad kebangsaan menyaksikan Mohamad Norza percaya kempen 2019 akan menjadi lebih baik terutama dengan kehadiran semula jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei yang akan kembali menjalani latihan pada Januari depan.

Chong Wei masih menunggu kebenaran daripada doktor yang merawatnya untuk kembali ke dalam saingan kompetitif.

“Berbekalkan prestasi ditunjukkan semua pemain muda tahun ini, saya fikir ia akan menjadi permulaan yang lebih baik pada 2019 terutama dengan kelayakan Sukan Olimpik akan bermula pada 1 Mei. Saya yakin kombinasi pemain lama dan baharu selain kembalinya Chong Wei akan menjadikan skuad negara lebih baik untuk kempen tahun depan,” katanya.