Goh Soon Huat-Shevon Lai yang sedang memburu tiket ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou bermula dengan baik apabila mudah menundukkan pasangan Perancis, Ronan Labar-Audrey Mittelheisser 21-7, 21-8 bagi bertemu gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Pasangan negara itu perlu sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi mengiringi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke kejohanan penamat musim ini dengan hanya lapan pasangan terbaik dunia layak beraksi di Guangzhou.

Dalam pada itu, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Cheng Chi Ya 20-22, 21-17, 21-18 dan akan bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying terkandas di pusingan awal selepas tewas 19-21, 16-21 kepada gandingan Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Aksi esok akan menyaksikan pemain perseorangan negara Liew Daren turun beraksi menentang pilihan kelima dari China, Chen Long manakala Soniia Cheah akan turun menentang pilihan ketujuh dari Jepun, Nozomi Okuhara.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin akan berdepan cabaran Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun manakala pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan bertemu pilihan ketiga dari China, Liu Cheng-Zhang Nan.-UTUSAN ONLINE