Atlet yang terlibat dalam kes itu ialah pemain badminton beregu campuran, Goh Soon Huat dan penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman.

Isu berkenaan didedahkan Se­tiausaha Majlis Olim­pik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo menerusi satu kenya­taan semalam.

Soon Huat memberitahu, ke­tika kejadian itu berlaku dia bersama rakan sebiliknya Iskandar Zulkarnain Zainuddin baru pulang dari sesi perhimpunan atlet Sukan SEA kira-kira pukul 11 malam.

Dia menegaskan bahawa dia tidak ke mana-mana sebaliknya berada di kawasan lobi hotel sahaja.

“Saya tengok Iskandar sudah mahu tidur, jadi saya ambil keputusan untuk menghubungi kawan saya di luar bilik dan sempat memberitahu perkara itu kepada pengurus pasukan (Mat Rashid Jahlil).

“Saya memberitahunya bahawa saya mahu bercakap sebentar dengan kawan saya sebelum tidur tetapi perbualan kami di telefon bertukar menjadi pergaduhan berhubung isu peribadi dan saya memberitahu kawan saya bahawa saya tidak boleh meninggalkan kem latihan.

“Kemudian kawan saya setuju untuk datang ke hotel. Saya menunggunya di kawasan lobi hotel dan berbincang sam­pai pukul 3 pagi.

“Saya tidak ke mana-ma­na. Hanya berada di kawasan hotel sahaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Sementara itu Presiden Per­satuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Za­karia memberi­tahu, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan semua pemain sudah diberikan peringatan untuk mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan sepanjang kem itu berlangsung.

“Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana dia masih berada di kawasan hotel.

“Namun, saya meng­ingatkan pemain agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan agar perkara se­perti ini tidak berulang.

“Buat masa sekarang tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Soon Huat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Nur Izwani yang turut dikenali sebagai Niena Azman menafikan dia digugurkan atas sebab me­langgar perintah berkurung sebaliknya memberitahu keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa.

Dia mengakui bahawa prestasinya sedikit menurun ketika perlawanan persahabatan de­ngan pasukan tempatan tetapi tetap berusaha mempamerkan persembahan terbaik sepanjang tempoh latihan.

“Mengenai isu melanggar waktu berkurung itu sama sekali tidak benar kerana pada pukul 11.10 malam saya telah berada di bilik.

“Benar saya ada berjumpa saudara saya di kafe hotel pada malam itu tetapi tidak melebihi waktu berkurung yang ditetapkan iaitu 11.30 malam.

“Memang sedih apabila digugurkan kerana ini mungkin Sukan SEA terakhir saya tetapi yang lebih menyedihkan apabila dikaitkan dengan masalah disiplin yang bukan dilakukan oleh saya seperti dilaporkan,” katanya.