Azim adalah nama pertama yang timbul pada bulan lalu untuk pemilihan MOM yang dijangka diadakan pada Jun ini. Dua hari lalu, nama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut dikaitkan akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden MOM.

Walaupun belum memuk­tamad­kan akan bertanding jawatan itu, namun daripada kata-katanya boleh ditelah bahawa Azim sudah bersedia untuk ‘masuk ge­langgang’ apabila tidak menganggap ura-ura beberapa nama besar dalam sukan tempatan akan turut bersaing sebagai ancaman terhadap peluangnya untuk mengisi kerusi berkenaan.

Azim, yang juga Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2018, berkata dia tiada masalah apabila ada pihak tertentu yang menyatakan hasrat untuk bertanding.

Bagaimanapun, beliau meng­ingatkan bahawa semua calon hendaklah bersaing secara positif walaupun melibatkan pertembungan lebih dua penjuru.

“Begini, semua itu hak masing-masing (ingin bertanding). Saya yakin semua calon memiliki kelebihan tersendiri.

“Bagi saya, jika terdapat pertembungan tiga penjuru sekali pun, kita harus bersikap profesional. Kita ikut saranan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar agar kita bersatu padu tidak kira latar belakang sukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan ahli jawatankuasa MOM bagi penggal baharu dijang­ka diadakan pada Jun ini de­ngan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang sudah memegang jawatan hampir 20 tahun telah mengumumkan untuk mengosongkan kerusi pre­siden dan di­serahkan kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang ketika ini adalah timbalannya.

Keadaan menjadi hangat apabila timbul ura-ura bahawa Hamidin juga akan dicalonkan dan perebutan kerusi No. 2 MOM itu menjadi semakin menarik kerana mungkin menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Timbalan Presiden Tekwando Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib juga dikhabarkan akan bertanding.