Bekas pemain No. 1 dunia dari Belarus itu terlibat dalam perebutan hak penjagaan anak, Leo dengan bekas pasangannya, Bill McKeague dan tidak dibenarkan keluar dari California selagi kes tersebut tidak selesai.

Kes itu juga menyebabkan pemain berusia 28 tahun tersebut terpaksa melupakan Terbuka Amerika Syarikat (AS), September lalu.

“Ia sangat mengecewakan kerana dia (Azarenka) tidak dapat datang ke Australia tahun ini.

“Terbuka Australia adalah kejohanan kegemarannya dan Victoria kini hanya mampu berharap untuk kembali ke Melbourne tahun depan,” kata pengarah Terbuka Australia, Craig Tiley dalam Twitter.

Azarenka menjuarai Terbuka Australia pada 2012 dan 2013, namun tidak bertanding dalam sebarang kejohanan sejak Wimbledon, 10 Julai lalu yang mana dia kalah kepada Simona Halep dari Romania pada pusingan keempat.

Dia hanya beraksi dalam enam perlawanan sepanjang 2017 hingga menyebabkan rankingnya merudum ke tangga ke-208 dunia.

Penganjur Terbuka Australia bulan lalu menawarkan tiket wildcard (jemputan) kepada Azarenka, dan tempatnya kini akan diganti pemain tuan rumah, Ajla Tom­ljanovic.

Terbuka Australia yang merupakan salah satu ­daripada empat kejohanan dalam kalendar Grand Slam akan bermula di Melbourne Park, Isnin depan.

Kejohanan itu sudahpun hilang sedikit ‘seri’ tanpa penyandang juara, Serena Williams dari AS yang mengumumkan penarikan diri minggu lalu kerana belum bersedia sepenuhnya sejak melahirkan anak sulung pada September.

Bekas pemain No. 1 dunia dari Britain, Andy Murray turut menarik diri akibat kecederaan bersama bintang Jepun, Kei Nishikori, manakala nasib bekas pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic masih tidak pasti. – AGENSI