Mat fikir perkara ini tidak sesuai diamalkan dalam persatuan sukan. Perpecahan dalam kalangan pengikut adalah perkara biasa. Kita boleh lihat sendiri walaupun dalam politik, yang kononnya tiada pertandingan dibuat untuk kerusi No. 1 parti adalah untuk mengelak perkara itu daripada berlaku.

Setakat ini hanya Tan Sri Annuar Musa yang telah mengesahkan beliau akan bertanding untuk kerusi yang bakal ditinggalkan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Tunku Ismail yang telah mendapat perkenan ayahandanya Sultan Johor juga belum mengesahkan sama ada akan bersaing atau tidak.

Mat menyokong Annuar untuk bertanding, begitu juga dengan Tunku Ismail. Mat juga ingin katakan Mat turut menyokong seorang lagi calon popular iaitu Khairy Jamaluddin agar bersaing sama. Orang putih kata ‘the more the merrier’.

Kita ada seorang lagi yang dicalonkan iaitu Tan Sri Aseh Che Mat. Mat tiada masalah beliau bertanding, tetapi namanya mula timbul setelah diajukan oleh TMJ. Sudah mula timbul kata-kata jika menjadi Presiden FAM nanti beliau sekadar menjadi proksi dan sudah pasti TMJ tidak mahu niat baik ba­ginda itu disalahertikan, Mat percaya Aseh juga tidak mahu.

Mat memang berharap sa­ngat akan ada pertandingan. Bukanlah Mat nak lihat mereka atau penyokong masing-ma­sing bergaduh. Tidak, bukan itu niat Mat. Mat cuma berharap peluang untuk memilih orang yang mahu memajukan bola sepak kita ini digunakan untuk memilih orang yang membentangkan idea terbaik.

Lagi pun, apalah bangganya jika seseorang itu menang tanpa bersaing.

Bagi Tunku Ismail, Mat berasakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu akan mengesahkan kedudukannya untuk menentang Annuar dalam sedikit masa lagi. Khairy pula ingin mendapatkan jawapan daripada mereka yang mencalonkan beliau selepas sebelum ini berkata tidak akan bertanding jika TMJ bersaing.

Pada Mat, Khairy tidak perlu berbuat begitu. Tindakan itu akan hanya memperlihatkan beliau cuba mencula undi ataupun nak lihat dulu sokongan kepadanya. Sebagai orang muda yang memimpin Kementerian Belia dan Sukan, Khairy sepatutnya menyahut cabaran. Beliau sepatutnya menjadi contoh kepada belia. Biar kalah di gelanggang, jangan undur sebelum berpencak.

Khairy mempunyai banyak idea, kerana itulah beliau dicalonkan. Beliau telah membuktikannya menerusi pelbagai program untuk belia dan dalam bola sepak beliau telah mencetuskan fenomena apabila mewujudkan program realiti MyTeam. Dan idea terbaharu beliau iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) telah menunjukkan perkembangan baik.

Jadi, beliau ada kredibel. Beliau juga dilihat sangat profesional. Lagi pun kalau dia kalah, tiada apa yang nak dimalukan kerana orang yang mengalahkannya adalah TMJ (mungkin).