Ayub bagaimanapun tidak menghadiri mesyuarat agung itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini hari ini.

Beliau yang sebelum ini adalah Timbalan Presiden PABM mengambil alih kerusi No. 1 yang dikosongkan Datuk Ong Poh Eng yang meng­umumkan pengundurannya selepas menerajui selama dua penggal sejak 2012.

Ayub yang juga Presi­den Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Johor menang tanpa bertan­ding jawatan Presiden PABM. Datuk Mohd. Nasir Ali dari Putrajaya pula memenangi kerusi Timbalan Presiden tanpa dicabar.

Bekas jaguh angkat berat negara Amirul Hami­zan Ibrahim pula dipilih sebagai Naib Presiden PABM selepas beroleh 17 undi bersama-sama dua lagi muka baharu Ge­rald Rentap Jabu (18) dan Ahmad Janius Abdullah (16).

Mereka memenangi pertandi­ngan yang melibatkan lapan calon dalam pemilihan yang dihadiri 33 perwakilan dari 12 negeri ahli gabungan PABM.

“Saya pernah kata, jika ada sesiapa berminat dan fikir boleh buat lebih baik, saya akan serahkan. Saya mesti berikan orang lain peluang.

“Selama enam tahun saya pimpin, angkat berat memang ada masalah termasuk doping tetapi ba­nyak yang kami selesaikan. Saya juga gembira dapat lihat kita menang dua pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast (bulan lalu),” kata Poh Eng yang masih menerajui Persatuan Angkat Berat Pulau Pinang dan Persekutuan Angkat Berat Komanwel.

Sementara itu, Nasir berkata, barisan kepemimpinan baharu ini diyakini lebih mantap dan tetap bertekad untuk menaikkan kegemilangan sukan angkat berat negara.

“Kami akan cuba menjalankan program kesedaran doping supaya atlet tahu kesannya kepada diri, nama baik sukan ini dan PABM,” katanya yang pernah kalah 19-16 undi kepada Poh Eng dalam pemilihan 2015-2017 di Pulau Pinang.

Mengenai kemungkinan menghadapi kesukaran dalam hubu­ngan dengan kementerian kerajaan baharu kerana PABM di­terajui Ayub, calon Barisan Nasional yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Nasir yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Itu tidak jadi hal. Beliau bersemangat tinggi malah giat menganjurkan kejohanan angkat berat di Johor.

“Kemajuan sukan adalah untuk menaikkan nama Malaysia, ja­ngan kita kaitkan dengan politik,” katanya.

Nasir juga menjelaskan bahawa pelantikan Setiausaha dan Bendahari PABM bakal diputuskan dalam satu mesyuarat lain.