Perhitungan acara riben biru 100 meter atau siapa ‘manusia terpantas Asia Tenggara’ yang melibatkan dua pelari remaja negara Khairul Hafiz Jantan dengan Badrul Hashim Manap juga belum mampu meyakinkan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) untuk mengenakan tiket kepada penonton olahraga.

Justeru keputusan memberikan kemasukan percuma dianggap wajar apatah lagi dengan prestasi skuad olahraga negara yang semakin kurang menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen negara sejak beberapa Sukan SEA lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Masoc, Datuk Seri Zolkples Embong.

“Bawalah Usain Bolt (juara dunia dan Olimpik) sekalipun ke Stadium Nasional, belum tentu penuh penontonnya tetapi olahraga merupakan antara sukan yang amat sukar kami hendak putuskan sama ada kenakan tiket atau percuma.

“Secara tradisinya sukan olahraga ini kalau dapat tarik antara 3,000 hingga 4,000 penonton ke stadium yang bermuatan kurang 10,000 pun sudah boleh dikira cukup banyak,” katanya yang masih mengikuti perkembangan olahraga negara walaupun hanya sebagai peminat sukan sekarang.

Olahraga merupakan antara 32 jenis sukan yang boleh ditonton percuma termasuk akuatik (renang terbuka), memanah, boling, tinju, kriket, berbasikal BMX dan lebuh raya, ekuestrian, lawan pedang, golf, hoki, hoki ais, luncur ais, judo, boling padang, petanque dan pelayaran.

Selain bola sepak, pertandingan yang memerlukan pembelian tiket ialah akuatik (terjun, renang, renang berirama dan polo air), badminton, gimnastik, karate, taekwondo, pencak silat, futsal, bola jaring, ragbi, berbasikal trek, bola keranjang, sepak takraw, biliard dan snuker dan muay.

Zolkples juga berpendapat prestasi atlet negara kebelakangan ini yang kian kerap memecahkan rekod kebangsaan mampu mengubah siri pencapaian hambar skuad olahraga dalam Sukan SEA lalu termasuk hanya mengutip tiga emas di Singapura pada 2015.

Antara mereka termasuk Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar), Nauraj Singh (lompat tinggi), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi) dan kuartet 4x100 meter wanita (Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally dan Nurul Faizah Asma Mazlan).

“Sebagai peminat, saya boleh ramalkan antara tujuh atau lapan emas daripada skuad olahraga dalam Sukan SEA kali ini,” katanya yang menambah bahawa Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 juga tidak mengenakan tiket untuk menonton olahraga.

Zolkples menambah, pertandingan pra-Sukan SEA bagi olahraga sebagai menguji sejauh mana tahap persediaan Stadium Nasional yang telah dinaik taraf dan diubah suai selepas diserahkan secara rasmi oleh kontraktor pemaju Mei lalu akan diadakan pada 17 hingga 18 Julai ini.