Mat Sport
Mat Sport 

Dikhabarkan wang insentif yang sepatutnya dibayar kepada atlet terbabit berjumlah kira-kira RM900,000 sebagai ganjaran kepada kejayaan dicapainya dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Malangnya ejen tersebut gagal berbuat demikian menyebabkan atlet terbabit menerusi peguam­nya kini berusaha untuk mendapatkan wang tersebut dengan apa cara sekali pun termasuk meminta bantuan persatu­an sukan kebangsaan berkaitan.

Maka daripada menjadi kawan suatu ketika dahulu, kini atlet dan ejennya itu sudah bertukar menjadi lawan dalam sekelip mata hanya disebabkan wang. Betullah kata orang wang antara tiga faktor selain wanita dan kuasa yang boleh menghancurkan hubungan dan integriti sesama manusia.

Persoalannya sekarang, isu wang itu sudah pastilah akan mengambil masa untuk di­selesaikan tetapi isu yang lebih penting daripada itu sebenarnya ialah bagaimana atlet ini mahu bertanding di luar negara dan seterusnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2020 nanti.

Ini kerana difahamkan, syarikat korporat terbabit sudah pun menarik diri daripada menjadi penaja rasmi atlet itu kerana tidak mahu terpalit dengan kontroversi yang melibatkan atlet dan ejen­nya terutama berkaitan perebutan atau pun penyelewe­ngan wang.

Difahamkan atlet terbabit kini sudah dilarang daripada menggunakan nama korporat syarikat berkenaan pada jersi dan sebagai nama pasukan yang diwakilinya apabila bertanding dalam mana-mana kejohanan.

Sebagai rekod, pasukan profesional yang dianggotai atlet terkenal ini hanya ditubuhkan tahun lalu selepas mendapat tajaan daripada syarikat korporat terbabit bagi membantu mereka merealisasikan impian bergelar juara dalam Sukan Olimpik 2020.

Itu sahaja yang boleh dilakukan syarikat korporat tersebut kerana untuk mendapatkan semula wang tajaan adalah mustahil kerana telah diserahkan ke­semuanya sekali gus kepada ejen atlet terbabit lebih awal.

Kini atlet berkenaan berada dalam dilema besar. Sudahlah menghadapi masalah perjanjian dengan ejennya, yang Mat dimaklumkan tiada hitam putih, tetapi yang lebih penting lagi ialah di bawah pasukan mana boleh diwakilinya untuk bertan­ding di luar negara bagi mencari tempat ke Olimpik.

Kepada atlet terkenal ini, Mat ingin menasihatkan agar beliau muhasabah diri. Mungkin ada hikmah dan pengajaran berguna boleh diperoleh di sebalik apa yang berlaku.