Sultan Nazrin turut menyampaikan insentif kepada atlet terjun negara Cheong Jun Hoong yang menerima RM25,000 ekoran kejayaan memenangi pingat emas acara 10 meter platform individu dalam Kejohanan Terjun Dunia Fina 2017 di Budapest, Hungary pada Julai lalu.

Turut menerima insentif ialah atlet boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Sin Li Jane yang memenangi pingat emas acara berpasukan wanita dalam Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk S. Thangasvari dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia ne­geri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Terdahulu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara menyaksikan program menanam pokok oleh atlet-atlet negeri perak yang memenangi pingat dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, Shahrul Zaman dalam ucapannya berkata, program skim insentif kemenangan atlet negeri Perak itu merupakan titah dan cetusan idea Sultan Nazrin sendiri bagi memberi pengiktirafan kepada anak-anak negeri ini yang telah mengharumkan nama negara dalam kedua-dua temasya itu.

Beliau berkata, sebanyak 80 atlet kelahiran negeri Perak telah mewakili negara dalam Sukan SEA dan Para ASEAN yang berlangsung pada Ogos dan September lalu dan daripada jumlah itu sebanyak 32 pingat emas, 16 pi­ngat perak dan 18 pingat gangsa telah berjaya diperoleh.

“Kejayaan- kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa negeri Perak dari dahulu hingga kini berupaya dan akan terus melahirkan atlet bertaraf dunia.

“Pemberian insentif ini juga diharap akan menyuntik semangat dan motivasi bagi atlet serta pelatih kontinjen negeri dalam Sukan Malaysia (Sukma) di bawah program Kita Juara 2018 dan Program Podium Perak (P3),” katanya.