Atlet yang terlibat ialah Nur Farhana Ismail dari sukan sepak takraw yang memenangi pingat perak dan gangsa, Siddiq Jalil dari sukan ragbi (emas), Ely Eliana Azmi dan Nur Azira Aziri dari sukan gimnastik berirama (emas).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Yaakop berkata, kejayaan atlet-atlet tersebut adalah suatu perkara yang membanggakan kepada penduduk di bandar raya ini dan sewajarnya perlu diraikan.

"Bukan mudah untuk berjaya dalam sukan kerana ia memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

"Sebab itu kejayaan mereka perlu dihargai dan dijadikan contoh kepada generasi muda untuk kemajuan sukan negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Jaguh Sukan Sea 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, Ely Eliana berkata, beliau berharap akan terus berjaya di dalam bidang sukan dan pelajaran serta akan terus mewakili negara pada masa hadapan.

"Sukan gimnastik ini akan terus saya ceburi selepas kecederaan saya pulih. Saya juga akan meneruskan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara dan berharap akan berjaya di dalam kedua-dua bidang," ujarnya. - Utusan Online