Berbekalkan semangat juang tinggi, atlet berusia 50 tahun berkata, tindakannya untuk bertukar sukan dari renang dan olahraga telah membuahkan hasil meskipun sekadar menduduki anak tangga ketiga selepas membuat angkatan terbaik 120kg.

Menariknya, dua daripada tiga anaknya turut menyertai temasya dwitahunan ini, yang mana Bonnie Bunyau menamatkan persaingan di tempat keempat hari ini dalam kategori 65kg, manakala anak sulungnya Bryan Junency (72kg) akan beraksi esok.

“Rasa sangat berbaloi tukar jenis sukan. Sebelum ini saya pernah cuba sukan renang dan olahraga. Tapi saya nekad 
beralih kepada powerlifting 
pada 2001 memandangkan pekerjaan saya sebagai juruelektrik banyak melibatkan angkat barang-barang berat.

“Ini merupakan Sukan Para ASEAN kedua saya selepas percubaan kali pertama pada 2009 di Kuala Lumpur gagal. Ini juga pertama kali kami anak beranak sertai bersama. Saya harap Bryan dapat menang emas esok selepas anak kedua saya (Bonnie) melakukan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya.

“Ketiga-tiga anak saya merupakan orang kurang upaya (OKU), manakala isteri saya normal. Saya yang memberikan galakan kepada mereka (dua anaknya) untuk mengikut jejak langkah saya,” kata Gustin yang mengalami kecacatan kaki selepas mengidap penyakit polio ketika berusia 10 tahun.

Gustin tewas kepada dua atlet yang lebih muda daripadanya Choochat Sukjarern, 42, dari Thailand yang menang emas dengan catatan 162kg, manakala wakil Vietnam, Nguyen Van Phuc, 36, (160kg) meraih perak.

Dalam pada itu, Bonnie berkata, dia pada awalnya tidak berminat dengan powerlifting kerana lebih menggemari sukan permotoran, namun setelah ‘dipaksa’ oleh ayahnya, dia akur.

“Dulu saya kaki motor tetapi suatu hari itu bapa saya ajak ke tempat latihan. Saya pun cuba dalam powerlifting. Dari situ 
pada usia 14 tahun, permulaan saya ceburi bidang ini,” katanya.