Kisah Ridzuan (Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi), Ziyad (Muhammad Ziyad Zolkefli) dan Latif (Abdul Latif Romly) sudah menjadi legenda moden negara kita. Bagaimana mereka telah mengatasi segala halangan untuk menjadi juara dunia. Bagaimana sukan para, yang kurang dipandang kini menjadi tumpuan orang ramai. Bagaimana atlet para tidak lagi dilihat sekadar atlet kurang upaya atau atlet biasa, tetapi atlet dan insan yang amat luar biasa.

Malam ini kita meraikan mereka semua. Bukan hanya yang sudah mencipta nama, tetapi juga yang baru mengorak langkah untuk mengukir kejayaan. Mereka adalah wira dan wirawati kita. Di bahu mereka tergalas impian, terpancar sinar kekuatan serta cahaya kegembiraan untuk negara yang dilanda kesedihan beberapa hari terakhir ini.

Usaha atlet para mengatasi kekangan fizikal atau intelektual mengingatkan kita bahawa tiada apa yang boleh menghalang semangat nurani yang ingin menggapai cita-cita. Walaupun berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang tidak dapat kita bayangkan, mereka tidak pernah menyalahkan takdir, tidak pernah mengeluh di tepi gelanggang membiarkan kehidupan berlalu pergi. Namun mereka terus mara, terus berjuang – menjadi pedoman kepada kita semua untuk menjadi bangsa yang tidak pernah kenal erti kalah, tidak memberi seribu satu alasan dan terus berani mendahagakan cita-cita besar.

Biarlah Sukan Para ASEAN ke-9 ini menjadi bukan hanya medan temasya sukan, tetapi sekali lagi - seperti juga Sukan SEA yang baru berlalu - menjadi sebuah pentas yang menyatukan negara kita. Bersatu dengan semangat juara, bertunjangkan inspirasi dari atlet luar biasa, dengan keyakinan yang tinggi, semangat yang padu - dengan keazaman yang membawa kita menuju ke puncak kejayaan. Gemilang selama-lamanya.

Negaraku, Malaysia!