Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, kerajaan negeri juga menyalurkan RM17,850 sebagai wang saku kepada atlet dan pegawai sukan negeri yang terlibat dengan kontinjen negara.

"Pada KL2017, seramai 35 atlet negeri ini berjaya menyumbangkan 14 pingat emas, lapan pingat perak dan tujuh pingat gangsa daripada keseluruhan 323 pingat yang diperoleh kontinjen negara.

"Kejayaan ini menunjukkan Pahang bersedia dan mampu melahirkan atlet berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Diharapkan lebih ramai atlet negeri ini dipilih pada kejohanan Sukan Asia 2018 di Indonesia dan Sukan Komanwel 2018 di Australia," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2015/2016 di sini malam semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dalam pada itu, Mohd. Johari berkata, pencapaian atlet ne­geri ini sepanjang 2015 dan 2016 membanggakan kerana ramai yang terpilih mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa.

"Ini termasuk 31 atlet pada Sukan SEA 2015 di Singapura, dua atlet wanita iaitu Nur Shazrin Mohamad Latif daripada sukan pelayaran serta Michele Koh pada Sukan Olimpik 2016 dan Mohd. Shamil Md. Saad iaitu power­lifting dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio, Brazil.

"Penghormatan untuk mewakili negara ke temasya sukan tertinggi dunia merupakan pengalaman terbaik dan diharapkan atlet negeri ini akan menjadi penyumbang pingat pada Olimpik di Tokyo 2020," katanya.

PESILAT negara, Mohd. Al Jefferi Jamari (kiri) dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif dinobat sebagai Olahragawan serta Olahragawati Pahang 2017 dalam Majlis Anugerah Sukan Pahang di Kuantan, semalam.