Ini kali pertama atlet negara menyertai perarakan Hari Kemerdekaan secara rasmi, dan kumpulan yang diketuai oleh Datuk Lee Chong Wei itu mendapat penghormatan berikutan kejayaan kontinjen negara membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa daripada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

Penyertaan mereka juga adalah untuk berkongsi kejayaan di Rio bersama peminat, yang bersatu memberikan sokongan kepada atlet negara sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Jaguh badminton No.1 negara, Chong Wei berkata dia tidak menjangka akan diberi penghormatan menyertai perarakan di Dataran Merdeka hari ini.

Katanya, sokongan padu rakyat berbilang kaum terhadap atlet negara sepanjang Olimpik membuktikan acara sukan mampu menyatu­padukan rakyat.

Pemenang pingat perak acara perseorangan Sukan Olimpik sebanyak tiga kali berturut-turut itu juga berharap sokongan sama akan berterusan kepada atlet negara walaupun apabila dia tidak lagi beraksi.

“Memang saya tidak sangka dapat hadir dan diberikan penghormatan pada Hari Kebangsaan dan ini satu pengalaman yang bermakna untuk kami (atlet negara).

“Saya sangat gembira dengan sokongan rakyat, tidak mengira apa bangsa pun...Melayu, Cina dan India. Kita sama-sama satu Malaysia.

“Hari ini kita nampak ramai orang datang meraikan Hari Kebangsaan dan juga memberi sokongan kepada kami. Rakyat juga mungkin turut mengharap­kan arena sukan negara terus maju pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas perarakan.

Dalam perarakan itu, kumpulan atlet itu diarak menggunakan bas dua tingkat tidak berbumbung yang ditaja oleh KL Hop On Hop Off. Diiringi lagu Kita Juara, perarakan atlet Olimpik negara mendapat sorakan meriah penonton yang turut sama merasakan mereka berkongsi kejayaan atlet berkenaan di Rio.

Atlet-atlet itu kelihatan me­ngibarkan Jalur Gemilang sambil melambai kepada penonton de­ngan penuh semangat.

Selain Chong Wei, pemenang pingat perak lain di Rio iaitu Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (terjun), Tan Wee Kiong-Goh V Shem (badminton beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton beregu campuran) serta pemenang pingat gangsa Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal keirin) turut melambai kepada penonton.

Chong Wei menjelaskan pe­rancangannya selepas ini adalah kembali menjalani latihan untuk persiapan menghadapi kejohanan seterusnya.

“Selepas ini saya akan kembali menjalani latihan seperti biasa untuk persiapan Terbuka Jepun dan juga Kejohanan Dunia tahun depan,” jelasnya.