Ketika sebahagian besar atlet berprestasi tinggi dan senior di bawah Program Podium agak tenggelam pencapaian mereka, kemampuan atlet Kita Juara dan pelapis di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) ini seperti memberi petanda baik bahawa Malaysia sudah mempunyai pengganti pada masa akan datang.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, daripada 82 atlet Kita Juara dan pelapis yang membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel kali ini, tujuh berjaya memenangi pingat dalam temasya sukan kedua terbesar di dunia itu.

“Misalnya dua emas daripada sukan badminton, salah seorang yang menyumbangnya adalah atlet Kita Juara iaitu Chow Mei Kuan yang baharu digandingkan dengan Vivian Hoo (Podium) dalam acara beregu wanita.

“Manakala dalam acara menembak, satu-satunya pingat yang kita menang iaitu gangsa adalah disumbangkan atlet Kita Juara, Alia Sazana Azahari,” tegasnya pada sidang akhbar merumuskan pencapaian Malaysia di temasya edisi ke-21 ini.

Atlet Kita Juara lain yang turut menyumbang pingat dan memecahkan rekod kebangsaan pada penampilan pertama adalah Mohd. Fazrul Azrie Mohdad dalam acara angkat berat snatch kategori 85kg selain Ho Ying/Karen Lyne (gangsa beregu wanita ping pong), Soniia Cheah dan Shevon Lai (perak badminton berpasukan campuran).

Sehubungan itu, Jefri mencadangkan agar lebih ramai atlet Podium dan atlet Kita Juara digandingkan bersama dalam menghadapi Sukan Asia pula selepas ini.

“Kita perlu merancang dengan lebih baik untuk program Sukan Asia dan MSN akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan atlet Podium dan Kita Juara dapat digandingkan secara bersama ke arah temasya tersebut.

“Tidak mustahil pada Sukan Asia nanti, atlet Kita Juara daripada sukan-sukan lain juga mampu menyumbang pingat kepada kontinjen negara,” kata Jefri yang juga merupakan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Komanwel 2018 ini.