Mat Sport
Mat Sport 

Tanpa parti siapalah pe­mimpin. Berkuburnya parti bermakna hilanglah pemimpin. Tiada lagi tempat untuk bernaung dan platform untuk meneruskan agenda perjua­ngan yang boleh diwarisi pe­mimpin, pengganti atau pelapis selepas itu.

Begitu juga dalam sukan. Tanpa persatuan sukan, siapalah atlet dan di mana mereka hendak bernaung untuk mewakili negara tercinta atau meneruskan karier. Jadi amat penting untuk memastikan persatuan sukan terus wujud pada ketika atlet akan sentiasa datang dan pergi.

Mat memilih untuk memulakan coretan de­ngan mukadimah seperti ini kerana ingin meng­ingatkan bahawa persatuan sukan sebenarnya lebih besar dan pen­ting berbanding atlet. Maka tunjuk sedikit rasa hormat kepada pe­mimpin persa­tuan sedia ada.

Persatuan sukan adalah badan yang bertanggungjawab menyediakan landasan dan menaikkan nama atlet. Jadi ja­ngan lupa jasa persatuan apabila atlet sudah berjaya. Sampai bila-bila pun, ja­ngan ada sekelumit pera­saaan dalam jiwa atlet yang merasakan diri mereka lebih besar daripada persatuan.

Pegangan ini harus menjadi iltizam dalam jiwa atlet jika mahu kejayaan yang mereka kecapi diberkati dan diiktiraf. Menu­duh persatuan sukan cuba memperalatkan diri atlet yang berjaya harus dijauhi.

Menuduh persatuan sukan cuba menjadikan diri atlet sebagai kambing hitam untuk menjana sumber kewangan adalah tidak wajar sama sekali. Fikirlah apa yang telah persa­tuan lakukan untuk membantu kita sebelum ini.

Pada Mat apabila sudah berjaya, apa salahnya bantu persatuan sukan pula dengan menggunakan nama dan kejayaan yang atlet itu ada. Jadi ada amalan memberi dan menerima di situ.

Memang dahulu atlet melalui zaman susah sebelum berjaya mencipta nama. Apa salahnya selepas berjaya, sumbangkan sedikit menerusi nama yang kita ada untuk membantu kepentingan dan survival persatuan pula.

Banyak sumbangan boleh atlet berikan, jangan berkira kerana ketika ada nama inilah masa terbaik untuk membalas jasa persatuan. Barulah persa­tuan boleh hidup dan berkembang seterusnya membantu atlet-atlet lain pula untuk berjaya.

Jadi kepada atlet yang sudah terkenal, jangan lupa jasa persatuan sukan kepada kita. Usah pentingkan diri sendiri sahaja. Kita bukan sahaja boleh menyumbang dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam mencari penajaan dan menawarkan kepakaran untuk memajukan dan me­ningkatkan pencapaian sukan yang kita ceburi selama ini.

Mat terpanggil untuk menulis coretan ini kerana di Malaysia tidak ramai atlet profesio­nal yang berjaya. Tetapi dengan bilangan kecil inilah, jika atlet yang sudah berjaya itu ada semangat tidak pentingkan diri sendiri mampu menjadi titik tolak kepada menjadikan kelompok ini semakin ramai pada masa hadapan.