Majlis penyampaian insentif itu disempurnakan oleh Pengerusi MSN, Datuk Rosmadi Ismail.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Fauzi Che Mamat dan Pengarah MSN, Datuk Mohammad Nordin Awang.

Sementara itu, Rosmadi berkata, sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan oleh MSN untuk diagihkan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negeri ini dan negara di pentas antarabangsa pada temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, sumbangan ini merupakan salah satu bentuk motivasi dalam usaha merangsang lebih banyak kejayaan yang dilakarkan oleh atlet berkenaan pada masa hadapan.

"Untuk emas individu kita beri RM2,000 manakala kumpulan RM1,000 seorang. Bagi perak pula RM1,000 untuk perseorangan dan RM700 seorang untuk berpasukan.

"Sementara gangsa RM500 untuk individu dan kumpulan," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur September tahun lepas, atlet Kelantan telah menyumbang 12 emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Emas tersebut disumbangkan menerusi sukan berbasikal, kriket, memanah, muay thai, pelayaran, pencak silat, petanque, ragbi, sepak takraw dan skuasy. - UTUSAN ONLINE