Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga memberi amaran bahawa atlet terlibat juga seterusnya boleh digugurkan daripada program Majlis Sukan Negara (MSN).

Tambah Khairy, beliau juga sudah meminta agar Chef de Mission (CDM) Sukan SEA Singapura 2015, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyampaikan mesej jelas kepada semua atlet bahawa mereka perlu bertanggungjawab dengan kerosakan dilakukan.

“Kali ini kami akan melaksanakan tindakan lebih tegas kerana atlet ini membawa nama Malaysia bukan hanya di atas padang tetapi ketika di luar padang, malah apa sahaja yang dilakukan pastinya mampu menjejaskan nama negara.

“Jika berlaku lagi kerosakan atlet harus membayarnya dan kita juga akan nilai balik penglibatannya dalam program di bawah MSN,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembaharuan kerjasama strategik antara Astro Arena dengan MOM di sini, semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi mendedahkan MOM terpaksa membayar denda hampir RM150,000 atas kerosakan dilakukan atlet negara di dalam bilik penginapan mereka, selain didenda kerana merokok sewaktu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Di Glasgow, kontinjen Malaysia didenda RM3,640 manakala RM142,478 ketika di Incheon.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, pihaknya telah melantik Timbalan CDM, Peter Chee untuk memantau disiplin kontinjen negara sepanjang Sukan SEA kali ini.

Kata Mohamad Norza, semua pengurus pasukan perlu membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik setiap malam untuk memastikan atlet tidak melakukan perkara yang tidak sewajarnya.

“Sukan SEA di Singapura tiada perkampungan atlet dan atlet akan menginap di hotel yang di bawahnya adalah tempat beli-belah sekali gus memerlukan kami mengetatkan undang-undang terhadap atlet.

“Jika memerlukan seseorang untuk berjumpa dengan atlet maka semua urusan perjumpaan tersebut akan diatur di lobi hotel sahaja,” kata Mohamad Norza.